Sunday, December 4, 2011

Lima Hal

Photobucket

Ahad, 4 Disember, bersamaan 8 Muharram. Hari ney nak kongsi satu kisah yang menarik yang berkaitan dengan maksiat. Kalau sebut sahaja perkataan maksiat, automatik kita faham bahawa maksiat itu ada kaitan dengan akhlak dan moral. Walau bagaimanapun, sebenarnya maksud maksiat itu jauh lebih meluas daripada itu.

 Melalui sumber, maksiat adalah "segala perbuatan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan yang salah, dosa, melawan, cuai, menentang atau derhaka kepada Allah s.w.t." Sekiranya seseorang itu melakukan maksiat,  pasti akan mendapat balasan yang setimpal sama ada di dunia mahupun di akhirat. Hanya Allah yang mampu mengadili hambaNya.


 Satu kisah dialog di antara seorang wali Allah yang bernama Ibrahim Adham dengan seorang lelaki. Lelaki itu menghadap Ibrahim bin Adham seraya berkata: "Wahai Abu Ishaq(panggilan Ibrahim Adham), aku ialah orang yang lupa diri. Oleh itu, berilah aku sesuatu yang dapat mencegah serta menyelamatkan hatiku daripada kecuaian."

 Ibrahim menjawab: "Jika kamu mahu menerima lima hal serta mampu melaksanakannya, nescaya kemaksiatan tidak akan mamapu menyerang dirimu dan kamu tidak mudah untuk dihancurkan oleh kelazatan duniawi."

 Lelaki itu berkata: "Tolong sampaikan hal itu kepadaku, wahai Abu Ishaq." Kemudian, Ibrahim mula berkata :

PERTAMA :

Apabila kamu hendak melakukan penderhakaan kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia, janganlah kamu memakan rezekiNya."

Pemuda itu kemudian bertanya lagi : "Lalu dari mana aku makan, bukankah semua rezeki pemberian-Nya."

Ibrahim menjelaskan : "Begini, wajarkah kamu memakan rezeki-Nya, sedangkan kamu masih menderhaka kepada-nya?"

Lelaki itu berkata : "Sekarang tolong beritahukan yang kedua. " Lalu Ibrahim pun berkata :



KEDUA :

Apabila kamu hendak berlaku kepada-Nya, jangan sampai kamu menginjak bumi-Nya." Ujar lelaki itu: "Perkara ini mungkin lebih berat daripada perkara pertama, Segala sesuatu yang ada, bermula dari belahan timur sampai barat adalah sesuatu milik-Nya, lalu di mana aku akan tinggal?"

Ibrahim berkata: "Begini, wajarkah engkau memakan rezeki-Nya dan tinggal di wilayah-Nya, sedang kamu masih menderhakai-Nya?" Lantas lelaki itu menjawab: "Tidak, sekarang tolong sebutnya yang ketiga!"

Ibrahim berkata lagi:

KETIGA :

Jika kamu hendak melakukan hendak melakukan kemaksiatan, sedangkan kamu masih berada di wilayah-Nya, sekarang cuba carilah suatu tempat yang mustahil diketahui oleh-Nya, kemudian di tempat itu kamu dapat bebas berbuat maksiat."

Lelaki itu semakin bingung dan kemudian berkata : "Wahai Ibrahim! Bagaimana hal ini dapat aku lakukan. Dia selalu mengetahui apa sahaja yang dirahsiakan?"

 Ibrahim meneruskan hujahnya : "Wajarkah kamu memakan rezeki-Nya dan berada di wilayah-Nya, sedangkan kamu masih derhaka kepada-Nya dan dia selalu mengawasi segala gerak gerimu?" Pemuda itu segera menjawab: "Tidak, sekarang cuba sebutkan yang keempat!" Ibrahim berkata:

KEEMPAT :


Apabila malaikat pencabut nyawa datang hendak mengambil nyawamu, cubalah minta kepadanya agar diberi tempoh hingga dapat bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya serta beramal soleh kepada Allah."

Jawab lelaki itu : "Mustahil dia mahu menerima permohonan itu."

Tanya Ibrahim : "Kamu tidak mungkin mampu menolak kematian hingga kamu dapat betaubat dan di sini kamu dapat mengetahui bahawa malaikat pencabut nyawa mustahil memberi tempoh kepadamu, lalu bagaimana kamu akan mendapatkan sebuah jalan untuk menyelamatkan diri?"

Lelaki itu seterusnya berkata : "Sekarang cuba tolong sebutkan yang kelima." Ibrahim berkata:

KELIMA :

Jika pada hari kiamat nanti, malaikat Zabaniyah datang kepadamu untuk membawamu ke neraka, usahakan untuk menolaknya."

Jawab lelaki itu : "Mereka tidak mungkin bersedia meninggalkan aku begitu sahaja, walaupun aku kemukakan pelbagai alasan."

Ibrahim bertanya lagi : "Jika demikian, bagaimana mungkin kamu akan mengharapkan suatu keselamatan?"

Kata lelaki itu: "Wahai Ibrahim!Cukup...cukup!Sekarang aku akan memohon ampun dan taubat kepada-Nya."

 Selepas peristiwa itu lelaki itu tekun beribadat hingga ke akhir hayatnya.

p/s: semoga dapat dijadikan iktibar dan peringatan yang berguna dalam kehidupan.


-FULL STOP-

2 comments: